Stop 24
Masa dan Teknologi
Artwork
3424.Masa dan Teknologi(0:00)
0:00
0:00
Masa ialah antara tema utama karya Lin Hsin Hsin, sehinggakan beliau menamakan salah satu pameran solonya sebagai From Time to Time (Dari Masa ke Masa). Beliau juga telah menerbitkan sejilid puisi dengan judul yang sama. Sebagai ahli teknologi, pelukis dan pemuzik, Lin terdorong untuk mendalami dimensi saintifik, estetika dan falsafah masa.
Karya seperti Layers of Time (Lapisan Masa) dan Sizzling Bubbles (Buih-buih Berdesir) menggarap idea masa yang berlalu. Lukisan Appreciation of Time (Menghargai Masa) dan Ahead of Time (Mendahului Masa) pula merupakan ungkapan yang lebih kontemplatif mengenai usaha berterusan manusia untuk mengatasi keterbatasan masa, walaupun kewujudan mereka agak singkat di Bumi.
Masa juga boleh menjadi ukuran cita-cita Lin. Beliau berusaha untuk selalu berada selangkah di hadapan orang lain, sambil memikirkan cara untuk mencapai hasilnya dengan cepat tanpa mengorbankan kekompleksan.
Cara berfikir ini memuncak hingga mencetuskan perubahan seismik dalam amalan seni Lin. Lantas, pada tahun 1994, beliau mengambil keputusan untuk 'menggantung' berus catnya dan menghasilkan karya seni menggunakan tetikus komputer pula. Pada tahun 2012, beliau beralih kepada hanya menggunakan jarinya pada peranti layar sentuh (tanpa stylus), teknik seni yang masih jarang kelihatan sehingga kini.
Akhir sekali, teknologi juga membolehkan seniman ini untuk membesarkan karya dengan lebih mudah tanpa dihalangi oleh batasan saiz fail. Lukisan Mountain View (Pemandangan Gunung) yang dibuat secara digital yang anda lihat di sini sebenarnya adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan karya seni Lin yang, menurut beliau, mencecah sehingga 1.8 kilometer apabila dipamerkan sepenuhnya. Lin bahkan dapat memetakan semua subjek yang pernah disampaikan dalam amalan seninya dengan menggunakan dendrogram yang dibina secara digital. Dendogram ialah istilah teknikal untuk rajah yang dihasilkan komputer dan menunjukkan hubungan hierarki antara kelompok objek dan data. Ia dipamerkan sebagai mural dinding yang panjang dalam pameran ini.