Stop 22
@ Kelajuan pemikiran
Lin Hsin Hsin
Artwork
3422.@ Kelajuan pemikiran(0:00)
0:00
0:00
Helo, saya Adele Tan. Saya adalah kurator bahagian pameran ini mengenai Lin Hsin Hsin, dan akan menjadi jurupandu anda pada lawatan ini.
Menggelarkan dirinya natif digital dan pengguna IT berwawasan, Lin Hsin Hsin bekerja sebagai pakar perunding dan pencipta IT. Beliau juga seorang pelukis, penyair, pemain piano dan komposer.
Dilahirkan di Singapura, beliau memperoleh ijazah sarjana muda matematik sebelum melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam bidang sains komputer di United Kingdom. Pada waktu mudanya, beliau juga belajar melukis dari seniman tersohor Liu Kang dan Cheong Soo Pieng. Di samping itu, Lin menerima sijil formal dalam piano dan muzik.
Pameran ini menumpukan karya seni Lin dari tahun 1970-an hingga 1990-an. Pada karya awalnya, Lin menggunakan medium tradisional seperti kertas, kanvas dan cat minyak. Namun, setelah kerjayanya semakin maju, beliau menyertakan teknik pembuatan seni digital kepada amalan seninya.
Seperti rakan senimannya, Jaafar Latiff, yang karya beliau mungkin pernah anda lihat di tempat lain dalam pameran ini, Lin mendapati bahawa teknologi menyediakan alat dan kaedah baru untuk eksperimen seni. Namun, berlainan daripada Jaafar, Lin menulis program komputernya sendiri, kerana enggan terhad kepada menggunakan perisian komputer yang terdapat di pasaran.
Pameran ini menampilkan ruangan digital yang berfungsi sebagai "denyutan nadi" visi seni Lin. Ia memaparkan kelompok karya terbaharu Lin di titik pertemuan seni dan persada digital.
Kami mengundang anda untuk menyelami dunia seni Lin di mana seni, muzik dan puisi saling berpadu dengan sains dan teknologi. Kami juga akan memberi penerangan lebih mendalam mengenai amalan seni Lin serta menelusuri evolusi visi seni beliau.