Stop 21
Percubaan Digital dan Dialog Tidak Terungkap
Artwork
21.Percubaan Digital dan Dialog Tidak Terungkap(0:00)
0:00
0:00
Karya-karya terakhir Jaafar menunjukkan beberapa perubahan yang ketara. Pada tahun 1990-an, beliau mula berkecimpung dalam seni janaan komputer dan juga memperkenalkan tulisan Jawi sebagai motif berulang pada lukisannya.
Antara tahun 1991 dan 1992, Jaafar menjadi guru pakar media di Institut Pendidikan Teknikal. Menggunakan komputer di sana, beliau menjadi antara seniman pertama Singapura yang menghasilkan karya seni digital. Beberapa karya tersebut dapat anda lihat di sini. Untuk menghasilkan karya tersebut, beliau menggunakan penyunting grafik bitmap Deluxe Paint III pada Commodore Amiga, sejenis komputer peribadi yang dilancarkan pada masa yang sama dengan Apple Macintosh pertama. Amiga dianggap teknologi canggih pada waktu itu.
Seperti lukisan batiknya, karya seni digital Jaafar menunjukkan betapa beliau seorang guru dan juga pelajar. Beliau meneroka pelbagai medium dari pekerjaan hariannya dan mengkaji dengan penuh rasa ingin tahu untuk melihat ke mana ia akan membawa beliau dalam amalan seninya.
Pada tahun 1994, Jaafar bersara dan berpindah ke Johor Bahru, Malaysia. Lokasi baharu itu memberi beliau ruang studio yang lebih luas; banyak lukisannya yang dihasilkan pada waktu itu berukuran lebih daripada dua meter. Di sebelah kanan anda terdapat sekeping lukisan dari siri Dialog Tidak Terucap. Tulisan Jawi tidak dapat dikenalpasti. Sebaliknya, huruf bertindih dan diulang dalam sebutan ekspresif, berlapis-lapis antara satu sama lain seperti dialog membingitkan.
Tajuk siri ini, Dialog Tidak Terucap, mengingatkan kita kembali kepada kata-kata Jaafar beberapa dekad lalu yang menyifatkan seni sebagai "bahasa senyap". "Setiap coretan mengungkapkan minda seniman, karya menjelaskan maksudnya sendiri."
Oleh itu, seni Jaafar Latiff tetap berada di luar jangka hayat sesuatu tekstil. Ia memaklumkan generasi akan datang tentang minda dan emosi seorang anak Singapura – seorang seniman, seorang guru – ketika beliau melalui transformasi mendadak negaranya dari kampung ke kota, dari dunia ketiga hingga dunia pertama yang serba maju.