Stop 20
Memecut Melalui Akrilik
Artwork
3420.Memecut Melalui Akrilik(0:00)
0:00
0:00
Sambil berkarya menghasilkan batik, Jaafar juga banyak melukis akrilik. Ada masanya beliau menggunakan pewarna akrilik dan batik pada karya yang sama.
Jaafar akhirnya lebih cenderung memilih akrilik. Beliau pernah berkata dalam satu wawancara akhbar bahawa batik tradisional mengambil masa terlalu lama untuk dihasilkan, dan beliau berminat untuk meneroka hubungan antara warna batik dan akrilik, serta menyeimbangkan kedua-duanya. Mungkin beliau juga kecewa dengan hakikat yang meskipun banyak masa diperlukan untuk membuat lukisan batik, karya tersebut lebih cepat pudar kerana bahan pewarna yang digunakan, dan banyak karya beliau kehilangan warna asal. Sebaliknya, akrilik membolehkan beliau menghasilkan karya dengan lebih cepat dan gaya lebih spontan.
Jaafar pernah mengatakan bahawa lukisannya mencerminkan keadaan dalaman dan emosi beliau. Anda boleh merasakan ini dengan melihat pada tajuk-tajuk siri lukisan beliau: Wandering (Berkelana), Vision (Wawasan), Odyssey, Opera, Drama, Transendental, Metamorphosis.
Kedua-dua lukisan di hadapan anda ini adalah dari siri Visi Jaafar yang dilukis pada pertengahan 1980-an.
Perhatikan bagaimana warna bertentangan yang terang dan sapuan kuas dinamik kelihatan seperti berdenyut dengan pergerakan dan kehidupan. Dengan bentuk bersegi dan lengkung yang kompleks dan rona cerah, lukisan Jaafar di sini mencerminkan hiruk pikuk dan lampu terang benderang di Singapura, ketika negara menjalani proses pemodenan yang begitu pantas pada tahun 1980an. Seperti negara namdar kita yang tidak kenal erti penat, lukisan Jaafar juga menyampaikan rasa mendesak, selalu berlumba-lumba mengejar masa, atau seperti yang dikatakannya sendiri, "masa mengejar masa."