Stop 19
3419

Kecemerlangan dalam Batik

Artwork
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
3419.Kecemerlangan dalam Batik(0:00)
0:00
0:00
Jaafar sangat dihormati kerana lukisan batiknya yang inovatif. Beliau menyifatkan dirinya sebagai seniman "spontan", dengan matlamat untuk mencapai "jangkauan ekspresi yang lebih bebas dan tidak terbatas". Walaupun begitu, beliau tetap menjadi pakar lukisan batik, yang melibatkan proses pembuatan yang begitu perlahan dan rumit. Jaafar menghabiskan masa beberapa dekad untuk mempelajari selok-belok teknik batik dan ciri-cirinya, seperti tindakbalas yang berlainan oleh bahan pewarna yang berbeza, ketelapan kapas dan kelikatan lilin lebah serta parafin pada pelbagai peringkat suhu. Beliau kemudian melangkaui batas apa yang dapat dicapai oleh setiap komponen atau teknik tersebut. Untuk menghasilkan sesuatu karya batik, terdapat lilin dan bahan pewarna perlu disapu berulang kali. Setiap satunya melibatkan perkadaran tertentu dan perancangan yang teliti. Tidak seperti cat, setelah bahan pewarna diresap dan warnanya ditetapkan, ia tidak boleh diubah lagi dan jika terdapat kesilapan, ia tidak dapat disembunyikan. Bentuk-bentuk abstrak berani batik Jaafar sangat berbeza daripada batik pada masa itu, seperti pemandangan kampung, masyarakat setempat, motif dari alam semulajadi atau corak berulang. Bentuk abstrak ini secara teknikal sangat sukar untuk dihasilkan. Seperti yang pernah dikatakan oleh Jaafar dalam satu wawancara, “Anda tidak pernah tahu apa hasilnya nanti, terutama dengan abstrak. Adalah sangat mudah untuk membuat kesilapan yang tidak dapat diperbaiki. Gumpalan, bintik-bintik putih, titisan warna yang salah. Di sinilah kebanyakan seniman tawar hati dan menyerah kalah." Karya yang terpapar di hadapan anda, Batik 14-87 / 88, menunjukkan keyakinan dan kepakaran Jaafar. Di sini, lilin lebur telah diterapkan menggunakan berus lebar, bukan corong pena atau cap tembaga bermotif yang lazim digunakan dalam lukisan batik. Jaafar menggunakan lilin bukan hanya sebagai bahan 'penahan' untuk menyekat penyerapan bahan pewarna, tetapi seperti cat. Hasilnya ialah karya dengan rasa gerak dan ekspresi yang berani. Di sini, batik melampaui skop kerajinan tradisional, dan melangkah ke dunia seni moden. Sekiranya anda berjalan di sepanjang dinding ini, anda dapat melihat lebih banyak lukisan batik Jaafar. Perhatikan sama ada anda dapat mengenalpasti cara berlainan beliau menggunakan lilin cair: pada garis, sapuan kuas, bahkan percikan dan titisan seperti Jackson Pollock.
Transcript
Share