Stop 18
3418

Jaafar Latiff: Pada Masa Tekstil

Jaafar Latiff
Artwork
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
3418.Jaafar Latiff: Pada Masa Tekstil(0:00)
0:00
0:00
Selamat datang ke pameran Jaafar Latiff: Pada Masa Tekstil. Nama saya Sze. Saya ialah kurator bahagian ini, dan saya akan menjadi jurupandu anda. Jaafar Latiff ialah seniman setempat yang terkenal dengan karya ciptaannya dalam batik dan lukisan abstrak. Beliau telah menceburkan diri dalam bidang seni selama lebih daripada empat dekad, dari tahun 1960 hingga 2007, apabila beliau meninggal dunia. Dilahirkan pada tahun 1937, Jaafar telah belajar seni secara kendiri dengan buku dan bahan-bahan yang dipinjam dari bapa saudaranya, seorang seniman grafik. Ayahnya telah meninggal dunia ketika beliau masih muda, dan sebagai anak sulung, Allahyarham Jaafar memilih untuk bekerja daripada menuntut di sekolah seni. Beliau bermula dengan mengajar bahasa Melayu di sekolah rendah, dan kemudian mengajar seni dan kraf. Pada tahun 1970, beliau mula mengajar di Institut Kejuruan Baharuddin, sekolah reka bentuk pertama di Singapura, dan mengenalpasti minat yang begitu mendalam untuk menjadi pendidik seni. Selama lebih dari 20 tahun, beliau mengajar di pelbagai sekolah seni, termasuk Baharuddin, Politeknik Temasek, Akademi Seni Halus Nanyang dan Kolej Seni LASALLE. Allahyarham Jaafar banyak berkarya di rumah, sebuah flat HDB sederhana di Bukit Merah. Beliau mendiami flat itu bersama keluarganya dan banyak kucing. Untuk memperoleh lebih banyak ruang, beliau juga berkarya di koridor flat pada waktu malam atau pada hujung minggu, apabila suasana lebih tenang. Ambil masa untuk menelusuri kisah Allahyarham Jaafar melalui garis masa, gambar dan bahan arkib di sini. Anda juga akan melihat beberapa lukisan dan lakaran Jaafar, dan bagaimana seninya berkembang sepanjang tempoh bertahun. Selepas itu, anda dipersilakan untuk ke dinding di belakang anda. Lawatan anda akan diteruskan di sana.
Transcript
Share