Stop 3
Keriuhan Kota
3403.Keriuhan Kota(0:00)
0:00
0:00
Perjalanan Chng dalam seni cetak bermula di Hull College of Higher Education, kemudian kunjungannya ke seluruh Eropah dan Amerika Utara. Kesemuanya dibiayai oleh wang hasil simpanannya sendiri beserta wang daripada Anugerah Pengajian Yayasan Lee dan dana sumbangan dari kakaknya.
Chng menyifatkan kepulangannya ke Singapura pada tahun 1986 sebagai satu "kejutan budaya". Ketika beliau berada di luar negara, Singapura telah menjalani proses pembangunan dan pemodenan yang pesat. Beliau juga dikejutkan dengan sifat masyarakat yang semakin kompetitif dan materialistik sedang Singapura berusaha untuk menjadi kota global, di mana, dengan kata-katanya sendiri, "demi kelangsungan hidup, tidak terkira ramainya orang yang kehilangan nilai kemanusiaan dan martabat mereka."
Ketika Chng masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat Singapura yang mengalami perubahan pesat, berlaku satu peristiwa hitam yang mengubah perjalanan seninya. Semasa lawatan sekolah ke Eropah pada tahun 1988, Chng telah terjatuh dan terhentak kepala, menyebabkan otak beliau bengkak dan bernanah. Ini menyebabkan beliau kehilangan sebahagian besar penglihatannya. Walaupun Chng menghadapi peristiwa hitam itu dengan penuh kepahitan dan kekecewaan, beliau membina azam untuk menyesuaikan kaedah kerjanya dan selanjutnya menyambung penglibatan dalam seni cetak. Kali ini, beliau menggunakan lebih banyak pendekatan deria sentuhan sebagai pengganti teknik ukiran yang disukainya, yang memerlukan langkah pemanasan dan penggunaan kimia yang kompleks.
Pengaruh kedua peristiwa ini jelas terlihat dalam karya-karya seperti City Jungle atau Hutan Bandar, yang menggambarkan persekitaran kota dengan lembaga-lembaga manusia berebut-rebut untuk mencapai ke puncak. Begitu juga, dalam Unachievable Goals atau Matlamat Tidak Tercapai, banyak lembaga menaiki bangku kayu persis yang dilakukan di tangga sosial atau kerjaya dalam kehidupan sebenar.
Di perhentian seterusnya, anda akan mendalami cara Chng terus berkarya di sebalik hambatan fizikal yang dialami, dan bagaimana pengalaman ini mendorongnya untuk lebih banyak bereksperimen dengan bahan yang berlainan.