Stop 11
3411

Zaman New York: Merangkul Abstraksi

Artwork
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
3411.Zaman New York: Merangkul Abstraksi (0:00)
0:00
0:00
Pada tahun 1962, Goh Beng Kwan meninggalkan Singapura untuk belajar di Arts Students League di New York. Beliau menetap di sana sehingga 1966 dan selalu berulang-alik di antara kelas, galeri serta muzium, di samping melakukan pekerjaan sambilan. Di New York, Goh tertarik pada golongan seniman yang cenderung kepada aliran ekspresionisme abstrak. Karya-karya mereka bercirikan olesan berus yang dinamik dan gabungan warna yang bertenaga. Meninggalkan naturalisme, Goh memilih aliran abstrak yang menjadi gaya lukisan sepanjang hayatnya. Pada karya abstrak Goh, kita dapat melihat pengaruh tradisi budaya Cina. Dalam lukisan bertajuk U-Stroke, satu olesan berus hitam di luar titik pertengahan karya memperkenalkan ketegangan dramatik. Olesan ini mencerminkan amalan seni dan kaligrafi Cina oleh Goh di Singapura. Beberapa karya Goh yang lain pula didorong oleh peristiwa sosio-politik. Black Afternoon atau Siang yang Hitam di [kiri / kanan] dilukis selepas pembunuhan Presiden Amerika, John F. Kennedy, pada tahun 1963. Melalui penggunaan warna yang meluap-luap dan olesan berus yang dramatik, unsur abkstrak digunakan untuk menyampaikan kesedihan dan trauma sejagat. Goh pertama kali menggunakan istilah "kota gementar" untuk berbicara tentang New York, di mana persekitaran yang penuh dengan deretan bangunan pencakar langit, riuh dan tenaga menjadi inspirasi beliau1. Sambil menelusuri jalan di kota raya itu, beliau berusaha untuk mendengar, menghidu, dan merasakan suasana melewati batas penglihatan. Beliau kemudian meluahkan pengalaman pelbagai deria yang sarat dengan emosi ini melalui warna dan pelbagai bentuk bebas. Lihat, misalnya, pada lukisan beliau yang berjudul Advertisements atau Iklan. Garis mendatar dan menegak bersilang berwarna hitam dan coklat yang murung menunjukkan susun atur grid Kota New York dan iklan yang menguasai pemandangan di sana. Unsur-unsur visual ini menunjukkan pengaruh komersial dan rentak hidup yang pantas di ruang kota. Di Amerika, Goh mula meneroka penggunaan kolaj. Untuk melihat beberapa karya kolaj awalnya, lihat ke dinding di seberang anda. Selepas itu, sila ke lukisan Urban Renewal, di mana lawatan akan diteruskan
Transcript
Share