Stop 8
Semangat Kebebasan
Artwork
3408.Semangat Kebebasan(0:00)
0:00
0:00
Karya agung ini bertajuk Spirit of Freedom atau Semangat Kebebasan, dan disiapkan tidak lama sebelum Mohammad Din meninggal dunia pada 2007.
Mohammad Din telah lama tertarik dengan amalan kaligrafi Islam dan penerapannya dalam seni. Pada 1992 beliau membantu menganjur pameran di Singapura yang bertajuk Islamic Contemporary Works of Art atau Karya Kesenian Kontemporari Islam. Beliau melihat ini sebagai satu cara untuk memulakan perbualan mengenai kaligrafi Islam dan bagaimana ia dapat diterapkan ke dalam seni moden di Asia Tenggara.
Pada 1999, beliau mempelajari kaligrafi Islam di bawah bimbingan pakar kaligrafi Iran, Hussein Shirazi. Ketika itu, beliau juga mendalami ilmu tentang aksara Arab. Dalam karyanya yang menyusul, Mohammad Din menyatukan penglibatan sepanjang hayat dalam silat dengan seni menerusi satu pendekatan yang disebutnya sebagai "Tenaga Kaligrafi." Beliau tidak menggunakan berus cat, tetapi sebaliknya menyapu atau mengoleskan cat secara langsung dengan tangan beliau, selain mengamalkan gerakan tubuh ketika bersilat sewaktu menyapu cat secara ekspresif. Dengan cara ini, beliau dapat menyalurkan tenaga batin kepada karyanya dan semua orang yang kelak menatap karya tersebut.