Stop 6
Mohammad Din Mohammad: Leluhur Tersilap
Mohammad Din Mohammad
3406.Mohammad Din Mohammad: Leluhur Tersilap (0:00)
0:00
0:00
Selamat Datang ke Mohammad Din Mohammad: Leluhur Tersilap. Nama saya Teo Hui Min dan bersama Shabbir Hussain Mustafa, kami adalah kurator bersama segmen pameran ini.
Allahyarham Mohammad Din adalah seorang ilmuwan pelbagai bidang. Beliau terkenal dengan seni yang kuat dan ekspresif, serta keahliannya sebagai ahli perubatan tradisional. Selain itu, beliau merupakan ahli silat, penulis dan pengumpul objek dari Asia Tenggara. Semua aspek amalannya yang berbeza ini saling berkaitan dan terikat dengan pandangan hidup beliau yang sangat dipengaruhi oleh sufisme, fahaman zahid dan mistik Islam.
Mohammad Din dilahirkan di Melaka pada tahun 1955, dan berpindah ke Singapura bersama keluarganya ketika berusia dua tahun. Beliau menamatkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Nanyang pada tahun 1976, dan memulakan kehidupan seninya dengan menjadi pelukis jalanan di Bugis Street lama.
Pada tahun 1983, kemalangan motosikal hampir menyebabkan kakinya terpaksa dipotong, tetapi Mohammad Din pulih sepenuhnya di bawah jagaan dan rawatan guru Sufi beliau, yang juga seorang pakar perubatan tradisional. Peristiwa yang mengubah hidup ini menguatkan kepercayaan Mohammad Din tentang peri pentingnya penyembuhan tradisional dalam kehidupan dan seninya. Ini kemudian mendorong beliau untuk memperdalamkan minat terhadap objek dan artifak Islam di Asia Tenggara.
Pameran ini menghimpunkan pelbagai objek dari koleksi Mohammad Din yang luas dan mengagumkan, di samping karya-karya seni yang berilhamkan koleksi ini. Kami menjemput anda untuk melihat dengan lebih dekat karya instalasi Pyramid of Soul: Celebrating Alif atau Piramid Jiwa: Meraikan Alif yang terletak di tengah-tengah galeri ini, dan mencerminkan kemuncak pandangan Mohammad Din. Ia dibina dari satu lakaran dan dengan kerjasama rapat isteri serta rakan seninya, Hamidah Jalil.
Sambil anda meneroka pameran yang merangkumi pelbagai objek, artefak dan muzik ini, kami harap anda akan dapat memahami dengan lebih mendalam amalan dan kehidupan seni Mohammad Din, serta pencarian tanpa hentinya untuk mencapai pencerahan rohani.