Stop 1
3401

Sesuatu yang Baharu Pasti Muncul: Enam Seniman Singapura pasca 1965

Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
3401.Sesuatu yang Baharu Pasti Muncul: Enam Seniman Singapura pasca 1965 (0:00)
0:00
0:00
Selamat datang ke pameran Sesuatu yang Baharu Pasti Muncul: Enam Seniman Singapura Pasca 1965. Nama saya Seng Yu Jin, dan saya ialah Kurator Kanan di Galeri Nasional Singapura. Pameran ini merangkumi enam bahagian yang meneroka dan mempamerkan amalan seni enam seniman Singapura. Mereka ialah Chng Seok Tin, Goh Beng Kwan, Jaafar Latiff, Lin Hsin Hsin, Mohammad Din Mohammad dan Eng Tow, yang menempa nama pada tahun-tahun selepas kemerdekaan. Pada masa itu, para seniman di Singapura giat menunjukkan bahawa pembentukan negara baharu juga bererti kemunculan identiti nasional yang baharu. Mereka mula bereksperimen dengan menghasilkan karya seni dengan cara yang baharu dan berbeza. Mereka mencipta karya pelbagai disiplin yang selanjutnya mendorong kemunculan zaman modenisme setempat yang bersemangat. Ini merupakan peralihan besar daripada generasi seniman sebelumnya di Singapura – dikenali sebagai "seniman Nanyang" – yang kebanyakannya dilahirkan di luar negara. Kelompok seniman Nanyang menggabungkan teknik lukisan dakwat Cina dengan lukisan easel Barat sambil menggambarkan subjek tempatan dan serantau. Keenam-enam seniman ini dipilih kerana latar belakang dan amalan mereka yang pelbagai, yang mencerminkan sifat masyarakat Singapura yang berbilang budaya. Selain itu, tiga di antara mereka adalah wanita yang mampu bertapak dalam dunia seni yang dikuasai oleh lelaki, namun karya mereka kurang mendapat perhatian umum. Dalam lawatan ini, barisan kurator setiap bahagian akan memandu anda melalui pameran masing-masing, dengan menonjolkan aspek penting daripada amalan seni setiap seniman. Sambil anda meneroka pameran ini, luangkan masa juga untuk melihat karya seni dengan lebih dekat dan membaca label untuk analisis visual yang lebih mendalam. Di samping mempelawa anda untuk melihat dan membandingkan amalan seni kelompok seniman ini, kami juga menggalakkan anda untuk membuat penilaian sendiri tentang hubung kait antara karya seni mereka. Mungkin anda juga akan menjumpai cara baharu untuk menilai para barisan seniman ini.
Transcript
Share