Stop 3
5203

Wajah Bertafakur

Abdul Ghani Hamid
Artwork
tidak dipamerkan
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
5203.Wajah Bertafakur (0:00)
0:00
0:00

Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk Face in Meditation (Wajah Bertafakur) oleh Abdul Ghani Hamid, dibawa khas oleh Galeri Nasional Singapura.

 

Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan bertafakur, Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap seni visual, dan menghayatinya secara sedar dan sungguh. Panduan ini mengandungi amalan bertafakur yang mengundang anda menghayati seni sebagai pengalaman berasaskan deria dan renungan. 

 

Memandangkan pengalaman bertafakur ini menggalakkan kita merenung diri dan mengedepankan fikiran dan perasaan, kita mungkin menjadi terharu atau tidak tertahan.  Jika begitu halnya, jangan segan untuk melangkah keluar dan beransur ke Bilik Tenteram atau tempat lain yang selesa untuk berehat. 

 

Sesudah menelusuri Panduan Seni Perlahan, kami berharap anda dapat merasai jalinan emosi yang mendalam dengan karya berkaitan, dan juga berasa lebih membumi dan tenang menghayati setiap detik.

 

Kita akan mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas, untuk mempersiapkan diri bagi menatap karya seni perlahan-lahan.

 

Ambil sedikit masa untuk menyambut ketibaan anda di ruang ini. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa daripada jadual yang padat untuk membelai minda, tubuh dan roh melalui jalinan dengan seni tampak. 

 

Dengan perlahan, alihkan perhatian kepada pernafasan anda. Beri perhatian kepada pernafasan anda. Perhatikannya. Tidak perlu mengubah atau mengolah apa-apa. Bernafas sahaja terus. Anda dapat menutup mata dan merehatkannya, atau memandang ke hadapan dengan renungan lembut.

 

Perhatikan nafas yang ditarik dan dilepaskan, serta rentak pernafasan. Beri perhatian kepada nafas anda, adakah panjang dan lancar, atau singkat dan pantas. Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

 

Jika mahu, letakkan sebelah tangan pada perut, rasai kehangatan tangan anda pada tubuh, dan perasaan kasih yang diberikannya. Dengan setiap nafas, perhatikan pergerakan perut anda turun naik perlahan-lahan. Izinkan tubuh anda berehat dalam pernafasan. Izinkan nafas anda membuai diri.

 

Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

 

Apabila bersedia, buka mata anda perlahan-lahan.

 

 


 

Ini adalah Face in Meditation, karya seniman Singapura, Abdul Ghani Hamid. Sambil kita mendalami karya ini bersama, anda dipersilakan bergerak di sekelilingnya dengan cara yang paling selesa. Anda bahkan boleh duduk di lantai galeri berhadapannya.

 

Karya ini mengingatkan kita kepada batik, teknik mencelup kain dengan kaedah lilin-kalis yang berasal dari Pulau Jawa. Anda melihatnya pada garis-garis tebal dan gelap yang melakarkan bentuk-bentuk bercirikan rona terang. Suasana bertafakur seperti dalam mimpi dicipta melalui rona biru yang menyejukkan, garis-garis lembut beralun yang mirip denyutan elektrik, serta paparan muka manusia yang di luar realiti.

 

Lahir pada 1933 di Singapura, seniman Abdul Ghani Hamid adalah antara pengasas Angkatan Pelukis Aneka Daya, sebuah persatuan pelukis Melayu yang menganjurkan pameran solo dan berkumpulan. Walaupun dianggap abstrak, lukisan-lukisan beliau bukan sekadar menggarap bentuk dan warna, tetapi turut membayangkan realiti.

 

Apakah yang paling menarik perhatian anda pada lukisan ini? Mungkinkah wajah seakan topeng dan kaki tangan yang bagai dipulas di bahagian atas lukisan? Atau mungkin bahagian latar depan, diwarnai rona biru gelap, ibarat air tenang?

 

Ayuh kita mulakan dengan meneliti wajah itu. Pelawa mata anda untuk menjejak garis-garis berpusar yang melakarkan wajah bertafakur ini. Ikuti setiap garisan lurus, setiap kelok, setiap liku, setiap pusaran, sebelum berhenti pada mata di sebelah kanan sekali. Perhatikan bagaimana paling banyak warna dan bentuk ditumpukan pada ruang sekecil ini. Renungkan keningnya yang terlakar jelas, berkontras dengan warna kulitnya yang kuning langsat. Apakah perasaan yang anda rasakan tertumpu di kening itu, yang berkerut sedikit?

 

Perhatikan, bulu mata itulah sahaja garis-garis terpisah dalam lukisan ini.

 

Mari kita amati tangan berwarna ungu gelap, mengusap lembut wajah yang bertafakur, kelima-lima jari memeluk pipi. Cuba jejak garisan hitam beralun di sepanjang lengan. Bayangkan garisan ini sebagai garisan tenaga. Cuba kenal pasti satu titik tenaga yang menenangkan di hati anda, yang memancar ke segenap dada. Biarkan tenaga ini bergerak ke bahu, turun ke tangan, menjejak garisan hitam beralun yang sama bergerak menuruni tangan ungu dalam lukisan. Izinkan tenaga hangat dan menenangkan dari hati anda mengalir ke tapak tangan, dan biarkan terkumpul di situ. Sekarang, biarkannya memancar ke jari-jemari anda. Dengan merapatkan jari-jemari ke pipi, biarkan tenaga meresap ke muka pula. Nikmati kehangatannya. Rasai tenaga yang beredar di dalam badan anda, saling berhubung, sama seperti garisan hitam pada lukisan.

 

Sekarang, luaskan kesedaran anda, keluar dari ruang dalaman tubuh dan mula menghayati persekitaran sekeliling.

 

Latar depan lukisan ini, dengan rona biru gelap, membayangkan takungan air yang tenang. Sapuan berus di bahagian ini lebih ketara daripada ruang biru di bahagian atas lukisan. Sapuan yang lebih berani dan bertekstur ini memaparkan pergerakan air perlahan-lahan, meskipun takungan air cukup tenang. Sekarang, bayangkan anda berada di dalam ruang sejuk dan gelap ini, meresap ketenangan dan permai air. Celupkan jari ke dalam air, dan rasai kesejukan dan basah air pada kulit anda. Pada pendapat anda, takungan apakah ini? Sebuah telaga? Kolam? Tasik? Mungkinkah ini sebuah danau dalam gua di tepi laut? Di manakah agaknya anda berada?

 

Sekarang, tumpukan perhatian pada bayangan samar di permukaan air. Cuba fikirkan cerminan wajah yang terbalik ini sebagai dunia batinnya yang rahsia. Kita semua memiliki dunia batin yang rahsia, tempat kita mengundurkan diri dan bersendirian di dalam minda kita, untuk berehat daripada kekusutan dan tekanan hidup sehari-hari, jauh dari hingar-bingar dunia luar. 

 

Dalam lukisan ini, dunia batin seniman dilihat sebagai daya kreatif, menggabungkan sains, psikologi dan kerohanian. Bagaimana caranya kita dapat melangkah ke dalam dunia batin ini? Meditasi, seperti dilihat dalam karya ini, adalah satu caranya.

 

Pernahkah anda mencuba meditasi? Meluangkan masa untuk diri sendiri dan berundur ke dalam dunia batin kita dapat menjadi kegiatan penyembuhan yang penting untuk minda, tubuh dan jiwa. Satu cara untuk bermeditasi adalah dengan bertafakkur tentang apa yang sedang berlaku, pada masa hal itu berlaku. 

 

Mulakan dengan menumpukan perhatian pada pernafasan anda, dan izinkan diri untuk menjalani pernafasan dengan santai. Lepaskan semua keinginan untuk mengubah cara pernafasan anda. Badan kita paling mengenali dirinya. Badan kita tahu cara bernafas, sepertimana sudah dilakukan sekian lama. Jadi, izinkan diri anda menikmati sensasi pernafasan anda. 

 

Sambil menarik dan melepaskan nafas, perhatikan di mana anda dapat rasakan sensasi pernafasan, dan bagaimana badan anda bergerak lembut dengan setiap nafas.

 

Jika mahu, sila tutup mata perlahan-lahan, atau kekalkan renungan lembut anda, sambil mendalami fikiran anda ketika ini. Adakah lukisan ini menghidupkan sebarang perasaan dalam diri anda? Di bahagian badan yang mana perasaan ini dapat dirasai?

 

Jika mahu, anda boleh meletakkan tangan di dada dengan lembut, untuk menyelami diri dengan mesra dan kasih.

 

Undangan di sini adalah untuk lebih menyedari fikiran, emosi dan sensasi yang timbul. Perhatikan bagaimana setiap satunya muncul, berlegar seketika, dan kemudian menghilang.

 

Perlahan-lahan, kembali meneliti pernafasan anda. Tarik nafas. Lepaskan. Izinkan pernafasan anda untuk membumi dan menyokong anda.  Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

 

Sekarang, apabila sudah bersedia dan jika selama ini tertutup, sila buka mata anda perlahan-lahan.

 

Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.

 

Jika anda menyukai Panduan Seni Perlahan, anda dapat mengikuti episod lain yang memaparkan karya berlainan. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan bertafakur untuk membantu anda melihat karya seni dengan lebih bermakna. Karya yang dipaparkan dalam Panduan Seni Perlahan adalah dari The Care Collection, satu pilihan karya daripada Koleksi Nasional yang disusun mengikut tema untuk tujuan terapi.

 

Sekiranya anda memerlukan ruang khas untuk tenangkan deria dan emosi, anda boleh melawati Bilik Tenang di Tingkat Bawah Tanah 1, Sayap Dewan Bandaraya. Di Bilik Tenang, anda boleh melakukan tafakkur berfokus selama 10 minit.

 

Kini, kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri, dan meluangkan masa untuk melangkah lebih perlahan demi menghayati semua karya seni di sekeliling anda.

Transcript
Share
Artwork details
Artist Name
Abdul Ghani Hamid
Full Title
The Face in Meditation
Time Period
1975
Medium
Oil on canvas
Extent Dimensions (cm)
Dimensions 2D: Object Dimensions: 86 x 61 cm
Credit Line
Gift of the artist. Collection of National Gallery Singapore.
Geographic Association
Singapore
Accession Number
P-0233