Stop 2
5202

Irrawaddy

Kim Lim
Artwork
tidak dipamerkan
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
5202.Irrawaddy(0:00)
0:00
0:00

 

Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk Irrawaddy oleh Kim Lim, dibawa khas oleh Galeri Nasional Singapura.

 

Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan bertafakur, Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap seni visual, dan menghayatinya secara sedar dan sungguh. Panduan ini mengandungi amalan bertafakur yang mengundang anda menghayati seni sebagai pengalaman berasaskan deria dan renungan. 

 

Memandangkan pengalaman bertafakur ini menggalakkan kita merenung diri dan mengedepankan fikiran dan perasaan, kita mungkin menjadi terharu atau tidak tertahan.  Jika begitu halnya, jangan segan untuk melangkah keluar dan beransur ke Bilik Tenteram atau tempat lain yang selesa untuk berehat. 

 

Sesudah menelusuri Panduan Seni Perlahan, kami berharap anda dapat merasai jalinan emosi yang mendalam dengan karya berkaitan, dan juga berasa lebih membumi dan tenang menghayati setiap detik.

 

Kita akan mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas, untuk mempersiapkan diri bagi menatap karya seni perlahan-lahan.

 

Ambil sedikit masa untuk menyambut ketibaan anda di ruang ini. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa daripada jadual yang padat untuk membelai minda, tubuh dan roh melalui jalinan dengan seni tampak. 

 

Dengan perlahan, alihkan perhatian kepada pernafasan anda. Beri perhatian kepada pernafasan anda. Perhatikannya. Tidak perlu mengubah atau mengolah apa-apa. Bernafas sahaja terus. Anda dapat menutup mata dan merehatkannya, atau memandang ke hadapan dengan renungan lembut.

 

Perhatikan nafas yang ditarik dan dilepaskan, serta rentak pernafasan. Beri perhatian kepada nafas anda, adakah panjang dan lancar, atau singkat dan pantas. Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

 

Jika mahu, letakkan sebelah tangan pada perut, rasai kehangatan tangan anda pada tubuh, dan perasaan kasih yang diberikannya. Dengan setiap nafas, perhatikan pergerakan perut anda turun naik perlahan-lahan. Izinkan tubuh anda berehat dalam pernafasan. Izinkan nafas anda membuai diri.

 

Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

 

Apabila bersedia, buka mata anda perlahan-lahan.

 

 


 

 

Ini adalah Irrawaddy, karya seniman Singapura, Kim Lim. Sambil kita mendalami karya ini bersama, anda dipersilakan bergerak di sekelilingnya dengan cara yang paling selesa. Anda bahkan boleh duduk di lantai galeri berhadapannya.

 

Ada lapan belas bongkah kayu pokok pain yang serupa, masing-masing berukuran 80 cm panjang. Bongkah-bongkah ini disusun dalam dua baris, sembilan bongkah sebaris, bersandar pada satu sama lain. Bongkah terakhir di setiap baris bersandar pada dinding galeri.

 

Sila berjalan dengan perlahan mengelilingi arca bagi menatapnya dari setiap sudut. Pelawa mata anda untuk menjejak garis bentuk geometri arca, mengambil maklum pelbagai garisan dan sudut yang wujud. Bongkah kayu pokok pain ini saling bersandar, dan membentuk garis-garis condong. Sudut yang terhasil oleh setiap bongkah apabila bersandar pada bongkah sebelumnya kian meningkat, disudahi dengan sudut paling curam oleh bongkah yang bersandar pada dinding.

 

Sekarang, cuba perhatikan karya dari ketinggian yang berbeza-beza. Jika dapat, sila membongkok atau bertinggung, lihat betapa berbeza pemandangan dari titik tatapan yang lebih rendah. Cahaya hangat jatuh pada permukaan bongkah-bongkah dan bermain-main dengan bayang-bayang arca. Karya turut berubah apabila anda berjalan mengelilinginya, dan anda dipersilakan memerhatikan bayang-bayang daripada perspektif berbeza.

 

Bayangkan anda mengangkat satu bongkah. Bagaimana agaknya sensasi memegangnya di tangan? Bagaimana agaknya rasa jari anda menyentuh kayu yang sejuk? Adakah terasa permukaan licin di setiap tempat, atau mungkin urat kayu yang kasar? Adakah sejuk apabila disentuh? Adakah bucu-bucunya terlalu tajam untuk mengusapkan jari, atau adakah bongkah sudah digosok elok dengan kertas pasir hingga anda mudah mengendalikan dan bermain dengannya? Adakah bongkah-bongkah itu ringan dan mudah dibawa, atau pejal dan berat di tangan?

 

Cuba fikirkan bagaimana bongkah-bongkah ini dahulu dibentuk dengan teliti dan rapi oleh tangan sang seniman. Kim Lim lahir di Singapura dan menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya di Pulau Pinang dan Melaka. Pada usia 18 tahun, beliau ke London untuk membina kerjaya sebagai seniman, dan menghabiskan dua tahun pengajian di Central Saint Martin’s, khususnya dalam seni ukiran kayu.

 

Karya-karya Kim Lim dari 1960 hingga 1979 diperbuat terutamanya daripada gentian kaca, keluli dan kayu, seperti arca bertajuk Irrawaddy ini. Sungai Irrawaddy mengalir dari utara ke selatan Myanmar. Inilah sungai terbesar di Myanmar dan sumber perdagangan dan pengangkutan penting sejak azali. Lim sedar betapa karya beliau dapat mencetuskan sesuatu dalam jiwa mereka yang menatapnya, lalu dengan giat mendalami cara menghidupkan ruang, irama dan cahaya, sambil mengesampingkan soal berat dan isipadu bahan.

 

Terdapat imbangan rapi sesama bongkah ketika bersandaran, setiap sudut dikalibrasi dengan berhati-hati untuk mengekalkan ekuilibrium. Jika satu bongkah dialihkan, yang lain mungkin runtuh. Melihat karya seni ini diimbangi di atas lantai di hadapan anda, adakah kelihatan goyah, seolah-olah kesemuanya boleh runtuh dengan satu sentuhan sahaja? Atau adakah strukturnya kelihatan kukuh membumi dan mantap?

 

Sambil menatap bongkah-bongkah kayu pain yang saling bersandaran, setiap bongkah berhubung dengan bongkah lain, perhatikan bagaimana kestabilan struktur keseluruhan bergantung pada hanya satu blok. Pada ketika ini, anda rasakan diri anda seperti bongkah mana? Adakah anda bongkah di hadapan arca, disokong kukuh oleh komuniti, bersandar pada dakapan dan belaian mereka yang menyayangi anda dan melindungi anda?

 

Atau mungkin anda berasa seperti bongkah di hujung, memikul beban bongkah-bongkah lain yang mengharapkannya untuk menopang seluruh struktur, demi keberlangsungan semua? Adakah anda kadang-kadang berasa anda memikul terlalu banyak beban, seperti terlalu banyak perkara yang merebut perhatian anda?

 

Atau mungkin anda melihat diri anda seperti salah satu bongkah di tengah, diapit selesa di antara bongkah pertama dan terakhir, sekaligus memberi dan menerima sokongan dan semangat positif.

 

Apa pun bongkah yang terasa dekat dengan diri anda hari ini, tidak mengapa. Izinkan diri untuk mengakui yang kita bergilir-gilir sokong-menyokong, dan apa jua perasaan yang timbul ketika ini diterima dengan terbuka. Merenung arca di hadapan kita ini, cuba selami betapa kita saling berhubung kait dan bergantung antara satu sama lain. Di hati setiap insan tersemat keinginan untuk bahagia dan berasa selamat.

 

Tumpukan perhatian pada pernafasan anda, dan tinjau perasaan hati anda saat ini. Anda mungkin ingin meletakkan tangan di dada, merasai kekuatan jantung berdegup, membiarkan kehangatan tangan anda menjadi penghubung kepada kehadiran diri anda sendiri yang penyayang.

 

Bisikkan kata-kata kemesraan, kehangatan, dan ucap selamat kepada diri sendiri.

Anda boleh memilih ungkapan sendiri, atau gunakan kata-kata seperti:

Semoga diriku selamat daripada terluka lahir dan batin.

Semoga diriku sihat.

Semoga diriku damai dan tenang.

Semoga diriku bahagia.

Semoga diriku dikasihi dan dipelihara,

Semoga diriku menemui keriangan di sekelilingku.

 

Sekarang, jika mahu, cuba ingat kepada seseorang yang anda sayangi, atau seseorang yang memerlukan ucap selamat. Sama seperti bongkah arca yang sokong-menyokong, fikirkan seseorang dalam hidup anda yang disokong anda, atau yang memerlukan sokongan. Dalam hati, kirimkan ucap selamat berikut kepada mereka. Anda juga boleh memilih ungkapan sendiri.

Semoga dirimu selamat daripada terluka lahir dan batin.

Semoga dirimu sihat.

Semoga dirimu damai dan tenang.

Semoga dirimu bahagia.

Semoga dirimu dikasihi dan dipelihara,

Semoga dirimu menemui keriangan di sampingku.

 

Mari kita kirimkan ucap selamat ini juga kepada masyarakat yang kita kasihi. Siapakah bongkah-bongkah lain dalam Irrawaddy anda? Bisikkan kepada mereka, dari sedalam-dalam hati nurani anda. Lantunkan ucap selamat ini jauh ke seluruh pelosok jagat:

Semoga kita semua selamat.

Semoga kita semua sihat.

Semoga kita semua damai dan tenang.

Semoga kita semua bahagia.

 

Izinkan kata-kata ini menyelinap ke dalam jiwa anda dan menghubungkan anda dengan insan lain.

 

Apabila anda bersedia, mengikut perhitungan sendiri, lepaskan meditasi ini. Tumpukan semula kesedaran anda pada pernafasan. Rasai rentak turun naiknya, dan tarik nafas lembut beberapa kali untuk mengakhiri meditasi.

 

Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.

 

Jika anda menyukai Panduan Seni Perlahan, anda dapat mengikuti episod lain yang memaparkan karya berlainan. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan bertafakur untuk membantu anda melihat karya seni dengan lebih bermakna. Karya yang dipaparkan dalam Panduan Seni Perlahan adalah dari The Care Collection, satu pilihan karya daripada Koleksi Nasional yang disusun mengikut tema untuk tujuan terapi.

 

Sekiranya anda memerlukan ruang khas untuk tenangkan deria dan emosi, anda boleh melawati Bilik Tenang di Tingkat Bawah Tanah 1, Sayap Dewan Bandaraya. Di Bilik Tenang, anda boleh melakukan tafakkur berfokus selama 10 minit.

 

Kini, kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri, dan meluangkan masa untuk melangkah lebih perlahan demi menghayati semua karya seni di sekeliling anda.

Transcript
Share