Musim Kembang Mekar
Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk Age of Full Bloom (Musim Kembang Mekar) oleh San Minn, dibawa khas oleh Galeri Nasional Singapura.
Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan bertafakur, Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap seni visual, dan menghayatinya secara sedar dan sungguh. Panduan ini mengandungi amalan bertafakur yang mengundang anda menghayati seni sebagai pengalaman berasaskan deria dan renungan.
Memandangkan pengalaman bertafakur ini menggalakkan kita merenung diri dan mengedepankan fikiran dan perasaan, kita mungkin menjadi terharu atau tidak tertahan. Jika begitu halnya, jangan segan untuk melangkah keluar dan beransur ke Bilik Tenteram atau tempat lain yang selesa untuk berehat.
Sesudah menelusuri Panduan Seni Perlahan, kami berharap anda dapat merasai jalinan emosi yang mendalam dengan karya berkaitan, dan juga berasa lebih membumi dan tenang menghayati setiap detik.
Kita akan mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas, untuk mempersiapkan diri bagi menatap karya seni perlahan-lahan.
Ambil sedikit masa untuk menyambut ketibaan anda di ruang ini. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa daripada jadual yang padat untuk membelai minda, tubuh dan roh melalui jalinan dengan seni tampak.
Dengan perlahan, alihkan perhatian kepada pernafasan anda. Beri perhatian kepada pernafasan anda. Perhatikannya. Tidak perlu mengubah atau mengolah apa-apa. Bernafas sahaja terus. Anda dapat menutup mata dan merehatkannya, atau memandang ke hadapan dengan renungan lembut.
Perhatikan nafas yang ditarik dan dilepaskan, serta rentak pernafasan. Beri perhatian kepada nafas anda, adakah panjang dan lancar, atau singkat dan pantas. Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Jika mahu, letakkan sebelah tangan pada perut, rasai kehangatan tangan anda pada tubuh, dan perasaan kasih yang diberikannya. Dengan setiap nafas, perhatikan pergerakan perut anda turun naik perlahan-lahan. Izinkan tubuh anda berehat dalam pernafasan. Izinkan nafas anda membuai diri.
Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Apabila bersedia, buka mata anda perlahan-lahan.
Ini adalah Age of Full Bloom, karya seniman Myanmar, San Minn. Sambil kita mendalami karya ini bersama, anda dipersilakan bergerak di sekelilingnya dengan cara yang paling selesa. Anda bahkan boleh duduk di lantai galeri berhadapannya.
Unsur yang paling menonjol di sini ialah figura utama lukisan – seorang wanita yang berdiri berpeluk tubuh, dan dari lehernya tumbuh bunga-bungaan menggantikan kepala.
Apakah pembayang pada lukisan yang menerangkan siapa wanita ini? Lihat pakaiannya Warna blausnya ialah merah, biru dan putih. Terdapat motif bintang pada blaus – bintang-bintang putih yang menghiasi jalur biru di tengah-tengah blausnya, serta di lipatan lengan. Warna dan corak ini mengimbau bendera kebangsaan Kesatuan Burma, yang digunakan sebelum 1974. Kita seterusnya dapat menyimpulkan yang wanita ini dari Myanmar, atau Burma, berpandukan kain hitam yang melilit pinggangnya, dilipat dan disemat pada pinggang kiri. Kelihatannya seperti longyi, kain sarung masyarakat Burma yang dipakai oleh lelaki dan perempuan. Sambil kita terus menatap lukisan ini, seutas rantai logam menarik perhatian. Di rantai, perkataan “Love” telah dijahit pada kanvas.
Wanita ini berdiri sambil berpeluk tubuh. Apakah yang terlintas di fikiran apabila melihat posisi tangannya? Adakah dia berpeluk tubuh kerana marah? Atau berontak? Adakah berpeluk tubuh itu tanda melawan, atau membela diri? Mungkinkah dia berpeluk tubuh kerana kesejukan, dan cuba memanaskan badan? Atau mungkin berpeluk tubuh itu tanda kelembutan? Adakah dia membelai diri dengan kasih sayang? Adakah dia mengukuhkan tubuh, supaya tidak jatuh berkecai?
Jika tidak keberatan, cubalah gaya yang sama. Alihkan badan supaya berdiri seperti wanita itu, bumikan kaki di lantai, lalu berpeluk tubuh di paras pinggang. Apakah emosi yang tercetus apabila anda berpeluk tubuh? (5 saat) Adakah bahu anda berasa tegang? Dapatkah anda cuba posisi mengelek tangan yang lebih membelai, yang membuat anda berasa didukung?
Seniman San Minn merupakan sosok penting dalam gerakan awal seni eksperimental di Myanmar. Sebahagian besar amalan seni beliau melibatkan tema keadilan sosial dan politik. Sama seperti karyanya yang lain, lukisan ini menggunakan campuran warna yang berani, garisan yang tegas, dan imej yang menonjol, semuanya disatukan untuk memaparkan kandungan yang simbolik dan sering di luar realiti.
Age of Full Bloom dihasilkan sejurus selepas San Minn dipenjarakan dari 1975 sehingga 1978 kerana penglibatan dalam demonstrasi anti-kerajaan pada 1974. Pihak penapisan seni melihat karya ini sebagai petanda buruk apabila dipamerkan di Pameran Seni Kampung Gangaw Kedua 1979, dan bertindak menyitanya. Cap penapisan tertera di hadapan dan belakang kanvas. Anda boleh lihat beberapa kesan cap larangan ini, berbentuk segi empat hitam, pada permukaan lukisan. Cuba hitung berapa jumlahnya. Dapatkah anda melihat ketujuh-tujuh cap tersebut?
San Minn tidak gentar oleh penapisan seni yang bertubi-tubi, atau pemenjaraannya atau penindasan berterusan oleh rejim pemerintah.
Pada lukisan ini, San Minn memaparkan bunga yang tumbuh dari tubuh yang cantik dan tampak terhormat. Ada sinar cahaya lembut di sekeliling bunga-bungaan, dengan rona kuning cat lebih cair berbanding bahagian latar lukisan yang lain. Terdapat duri tajam pada bunga-bunga mawar itu, kelopak merah jambunya yang galak di hadapan latar kuning hijau yang kelam. Bayangkan anda menghirup harum lembut baunya.
Bunga-bunga mawar itu mekar ke sana sini, seperti tumbuh dipupuk cahaya asuhan tubuh wanita itu, dari tenaga dalamannya. Bunga-bunga itu tidak tumbuh ke satu hala sahaja seperti biasa, ke arah matahari. Sebaliknya, bunga-bunga itu kembang mekar ke arah luar, mengisi segenap ruang di dunia, seolah-olah kuasa memberi nyawa si wanita bersinar lebih terang daripada matahari sekalipun. Cap penapisan dan larangan mengelilingi imej ini, tanpa menghakis semangat bunga-bunga itu.
Ayuhlah kita, seperti bunga-bunga mawar ini, menimba semangat pemberi nyawa wanita tersebut. Ayuh kita timba tenaga daripada jiwa San Minn yang kental bertahan dan menentang dalam diam. Ayuh kita timba ilham daripada ketekunan beliau menghasilkan seni dan keindahan yang melaungkan kebenaran ke muka penguasa, meskipun pada saat paling gelap.
Seringkali kehidupan kita didatangi kesukaran dan kepedihan. Kadang-kadang, bebannya terlalu berat untuk dipikul. Ayuh sekarang kita bertafakur seketika. Amalan meditasi ini bertujuan menyemai belas kasih pada diri kita sendiri, dan mendukung diri di kala memerlukan.
Cuba ingat kembali satu ketika, apabila hidup anda dilanda kekusutan.
Sambil mengenangnya, akui perasaan yang timbul disebabkan situasi itu. Mungkin saat itu hati anda terluka, kecewa, marah atau sedih. Mungkin waktu itu anda hilang harapan, atau dalam keadaan berkecamuk yang tidak dapat difahami.
Anda mungkin terasa ingin meletakkan sebelah tangan di dada dan berkata dengan perlahan-lahan dan jelas: “Memang pedih. Memang susah.” Atau sekadar: “Aduh.”
Ketahuilah, anda tidak keseorangan. Sesiapa sahaja dalam situasi yang sama pasti akan terasa kepedihan yang sama, mungkin tidak seberat anda atau seperti anda, atau mungkin sama sahaja. Cuba hulurkan hati kepada sekurang-kurangnya seorang lagi yang pernah berada dalam situasi yang sama, dan izinkan perasaan belas kasihan anda yang mendalam menyentuh mereka juga.
Dengan tangan di dada, rasai kehangatan yang menyerap ke seluruh jiwa. Bayangkan kata-kata yang anda perlu dengar untuk membantu diri, untuk membelai dan menyayangi diri. Ucapkan kata-kata ini. Anda boleh ucapkan dengan lantang, atau sekadar di dalam hati. Anda boleh katakan:
Semoga aku dapat berbaik hati terhadap diriku. Semoga aku dapat membelai dan menatang diriku. Semoga aku dapat memelihara diriku daripada bahaya. Semoga aku dikasihi.
Jika sukar mencari kata-katanya, cuba bayangkan sahabat karib anda menghadapi masalah yang sama, atau bergelut dengan situasi yang sama. Apakah yang anda akan katakan kepadanya? Apakah kata-kata yang dapat dihulurkan untuk membantunya, tanpa memberi nasihat? Bolehkah anda hulurkan kata-kata yang sama kepada diri sendiri?
Biarkan kata-kata itu menyelinap perlahan-lahan ke dalam jiwa anda. Perlahan-lahan, buka mata anda, dan tarik nafas beberapa kali dalam sebagai penutup.
Jika anda rasa meditasi ini bermanfaat, sila amalkan bila-bila masa anda menghadapi kesukaran. Amalkan meditasi ini untuk memberi diri anda sentuhan yang membantu dan menyejukkan hati, menghadiahkan kata-kata kasih dan sayang sambil meleraikan kekusutan.
Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.
Jika anda menyukai Panduan Seni Perlahan, anda dapat mengikuti episod lain yang memaparkan karya berlainan. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan bertafakur untuk membantu anda melihat karya seni dengan lebih bermakna. Karya yang dipaparkan dalam Panduan Seni Perlahan adalah dari The Care Collection, satu pilihan karya daripada Koleksi Nasional yang disusun mengikut tema untuk tujuan terapi.
Sekiranya anda memerlukan ruang khas untuk tenangkan deria dan emosi, anda boleh melawati Bilik Tenang di Tingkat Bawah Tanah 1, Sayap Dewan Bandaraya. Di Bilik Tenang, anda boleh melakukan tafakkur berfokus selama 10 minit.
Kini, kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri, dan meluangkan masa untuk melangkah lebih perlahan demi menghayati semua karya seni di sekeliling anda.
Artwork details
- Artist Name
- San Minn
- Full Title
- Age of Full Bloom
- Time Period
- 1979
- Medium
- Oil and metal chain on canvas
- Extent Dimensions (cm)
- Dimensions 2D: Image measure: 89 x 59 cm
- Credit Line
- Collection of National Gallery Singapore.
- Geographic Association
- Myanmar
- Accession Number
- 2015-00411